Berzina Dengan Ikhlas | Seorang remaja yang
menamakan dirinya Yang Ikhlas telah menghantar satu surat kepada Dr Danial
Zainal Abidin baru-baru ini. Antara isi surat itu ialah: Dr. Danial yang
dihormati. Saya telah bercinta dengan seorang wanita. Demi cinta kami telah
berzina. Tetapi saya tidak rasa bersalah sebab saya ikhlas dengannya. Saya
hendak mengambilnya sebagai isteri saya. Saya tidak bertujuan untuk mempermainkannya.
Rakan-rakan saya mengatakan tindakan saya adalah gentleman. Tetapi saya telah
dimarahi oleh orang-orang tua saya. Saya rasa mereka berotak kolot. Apakah
pandangan dan nasihat tuan.
......
JAWAPAN DR. DANIAL
Yang Ikhlas yang dihormati. Saya bersyukur tentang keikhlasan saudara dan saya
berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu jugalah saya
menulis jawapan ini kepada saudara.
Dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis
nilai. Krisis nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward
Gibbon dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire telah
menulis bahawa: Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh
sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas…..Di akhir abad keenam,
Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan yang paling dahsyat
sekali!
Nabi datang untuk selamatkan kita dari kehancuran yang seperti itu. Nabi
bersabda, Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
(Hadis riwayat Ahmad & Baihaqi)
Nilai akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur yang penting bagi
kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya.
Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya
menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan
adalah salurannya. Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud: Isterimu
adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu!
(Surah Al-Baqarah ayat 223) Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah
nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah
diharamkan kerana kemudaratannya.
Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep
Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence, Italy
yang bernama Niccolo Machiavelli. Machiavelli, dalam bukunya The Prince telah
menekankan konsep the end justifies the means ataupun niat membersihkan cara.
Asalkan niat kita baik, berzinalah, menipulah, khianatilah, menyamunlah dan
begitulah seterusnya. Semua adalah halal bagi Machiavelli.
Laporan akhbar 6 Ogos 1999 juga ada perkaitan dengan krisis nilai ini apabila
seorang tokoh koporat berpangkat Datuk, telah menceritakan di mahkamah tentang
hubungan seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa
niatnya adalah suci kerana bertujuan untuk mengahwininya. Itulah nilai yang
sedang melanda dunia sekarang: Seks adalah suci walaupun tanpa perkahwinan!
Memang ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan seks bebas ini adalah lambang
kemajuan dan kemodenan. Nilai agama dan akhlak adalah kolot. Jika demikian,
mari kita perhatikan hasil dan sumbangan seks bebas kepada dunia. Seks bebas
telah berjaya merebakkan penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan
akhbar Der Spiegel pernah menjadikan tajuk AIDS in Asia – Killer Epidemic in
Sex Paradise (AIDS di Asia – Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk
muka depannya. Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada
tahun 1997. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika
mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua kali
ganda kemungkinan diserang masalah emosi di dalam hidup mereka, berbanding
dengan anak-anak lain (Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).
Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi
luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Semua ini bukanlah sumbangan yang
membanggakan bagi dunia moden.
Islam menekankan bahawa niat dan cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena
mengikut syariat. Syariat mengharamkan zina. Nabi kita bersabda, Selepas dosa
syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang
meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya! (Hadis riwayat Ahmad
& Thabrani)
Saya berharap saudara Yang Ikhlas akan kembali ke jalan yang murni berdasarkan
agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang kemajuan sebaliknya
lambang kemunduran dan kehancuran.
Kaum Lut hancur kerananya.
Kota Pompei hancur kerananya.
Empayar Rom juga hancur kerananya.
Justeru, kembalilah ke pangkal jalan.
(Semoga jawapan ini juga mendatangkan manfaat kepada mereka yang lain)
WALLAHUALAM
sumber: http://beritamyon9.blogspot.com/2013/02/berzina-dengan-ikhlas.html
~ wHen LifE iS rOUgh..PRAY..
wHeN LifE iS grEAt..PRAY..~
No comments:
Post a Comment