SUNGAI PETANI - Bakteria salmonela
dikenal pasti terkandung dalam hidangan ayam goreng masak merah yang disediakan
secara gotong-royong sehingga menyebabkan kematian.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr
Ismail Abu Taat berkata, sebahagian daripada 130 bekalan ayam yang dihantar
untuk majlis perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai Sabtu lalu juga
didapati sudah busuk.
Menurutnya, hasil laporan siasatan
terperinci yang dilakukan mendapati ayam yang busuk diasingkan manakala
sebahagian yang masih elok digunakan untuk memasak.
“Ayam kemudian digoreng pada jam 9
pagi hingga 4 petang 27 September sebelum disimpan di suhu bilik,” katanya
kepada media di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, semalam.
Ismail berkata, keadaan penyimpanan
yang tidak sesuai juga boleh menyebabkan bakteria merebak selain kaedah
menyedia yang tidak cukup tempoh memasak juga boleh menjadi faktor penyakit
berkenaan.
“Setelah disiasat mendapati, ayam
goreng yang dicampurkan kuah sambal pada 28 September untuk dihidangkan kepada
pengunjung majlis perkahwinan mengandungi mikroorganisme yang dipanggil
salmonela,” katanya.
Bakteria Salmonela
Ismail berkata, individu yang
dikesan terkena jangkitan bakteria berkenaan akan mengalami simptom demam,
cirit-birit, perut memulas dalam tempoh 12 jam selepas makan.
“Keadaan ini boleh menyebabkan
mangsa kehilangan banyak air dalam badan dan lebih serius boleh menyebabkan
kematian sekiranya lambat menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini lebih
kurang 270 mangsa menerima rawatan di beberapa hospital di negeri ini dan dua
daripadanya masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Menurutnya, di HSAH, seramai 127
pesakit mendapatkan rawatan di mana 38 dimasukkan ke wad manakala 89 sudah
dibenarkan pulang.
Daripada jumlah itu, katanya,
seorang pesakit berusia 58 tahun berada di ICU manakala seorang lagi di ICU
berusia 56 tahun baru sahaja dilaporkan meninggal dunia jam 7.15 malam semalam.
Sementara itu, katanya, di Hospital
Daerah Yan, seramai 138 kes dirawat di mana 62 ditahan wad manakala 68 sudah dibenarkan
pulang.
Katanya, seramai 18 kes dirujuk di
lain-lain hospital.
Ismail bagaimanapun meminta orang
ramai yang mengunjungi majlis kenduri terbabit supaya membuat pemeriksaan
segera bagi memastikan tahap kesihatan mereka.- Sinar


No comments:
Post a Comment