Showing posts with label renungan. Show all posts
Showing posts with label renungan. Show all posts

Monday, 31 March 2014

BeLAjarLAh dARi sEMut



Ayuh kita belajar dari semut walaupun dari beberapa ayat di dalam Al-Quran.


Pertama: Tekun dalam pekerjaan

Tidak syak lagi bahawa kualiti kerja dan tekun dalam pekerjaan amat penting dalam pengurusan kini. Sehingga kita dapati semua perkara yang berkait dengan pengurusan mesti bergandingan dengannya ketekunan. Dan yang dikatakan kesempurnaan kualiti itu ialah seseorang itu melaksanakan kerja dalam sebuah tanzim (organisasi) semaksima mungkin tanpa sedikitpun berlaku kesilapan, berdasarkan etika kerja yang telah disepakati –sekalipun tidak tertulis- mengikat antara semua individu yang ada di dalam tanzim dalam lingkungan yang saling melengkapi satu sama lain. Kesilapan seorang atau sebahagian akan memberi kesan negatif kepada yang lain. Benarlah apa yang disabdakan Nabi saw tentang kaitan hubungan tersebut di antara para mukminin dengan ‘satu jasad’ dalam toleransi dan kasih sayang dan ‘seperti binaan yang menyokong antara satu sama lain’ di dalam kekuatan dan keutuhan.

Kesimpulan itqan secara umum (tekun dlm kerja) dalam mana-mana organisasi dari semua individu di mana-mana tempat sekalipun; ialah tunduk dan patuh kepada perintah Allah Ta’ala.

Iaitu apa yang kita pelajari dari kisah semut; ia menunaikan tugas yang menjadi kewajipan dengan cemerlang –darjat itqan- Ketekunan itu membawa kepada terlaksananya objektif. Semut berkenaan telah memberi amaran kepada kaum kerabatnya pada waktu yang sesuai dan akhirnya menyelamatkan mereka semua daripada bencana yang bakal menimpa.

Kedua: Sedar, prihatin dan iltizam (komitmen)

Ketiga-tiga perkara ini penting bagi menjayakan satu-satu tugas sebagaimana yang ditunjukkan oleh semut tersebut. Tanpa sifat di atas tidak mungkin sesuatu tugas dapat disempurnakan. Bahkan kelekaan sedetik boleh mengakibatkan kemusnahan menyeluruh kepada anggota tanzim. Justeru menjadi kemestian bagi setiap anggota tanzim tekun dan ihsan melaksanakan tugasan yang diamanahkan sehabis kemampuan dengan penuh sedar dan prihatin. Dia sebenarnya berada pada satu sudut penting dari semua sudut tanzim, jangan sampai bahaya datang melalui sudut di bawah jagaannya. 

Kecuaian daripada seorang atau beberapa individu dalam tanzim tidak hanya akan memudharatkan mereka yang berkenaan sahaja, malah ia akan mendatangkan kemudharatan dan kerugian kepada semua yang berada dalam tanzim. Lihatlah apa yang berlaku dalam peperangan Uhud apabila beberapa individu para sahabat mengingkari arahan Rasulullah saw; ia merupakan bukti betapa pentingnya keprihatinan dan komitmen yang padu perlu wujud dalam bertanzim.

Ketiga: Semangat dan kehendak yang kuat

Kita perlu faham bahawa setiap perkara besar yang ingin dilaksanakan perlu kepada semangat dan kehendak yang kuat bagi menjayakannya. Musuh utama dalam diri manusia ialah lemahnya semangat dan kehendak. 

Berkata penyair:

Keazaman datang mengikut kadar kuat azam seseorang
Kemuliaan datang mengikut kadar mulianya seseorang
Perkara besar akan jadi kecil apabila orang itu jadikan ia kecil
Perkara kecil akan jadi besar apabila orang itu jadikan ia besar

Dari sini kita tahu bahawa apa yang dilakukan oleh semut berkenaan sebenarnya didorong oleh keikhlasan, komitmen dan semangat yang tinggi. Kalau tidak pasti ia akan mendiamkan diri, malas dan menyerah sahaja kepada taqdir…

Keempat: Keazaman yang kental/utuh

Apabila semangat mendorong melakukan persediaan, meletakkan perancangan dan mengambil sebab-sebab yang akan membawa kejayaan, maka keazaman bermakna menetapkan hati untuk meneruskan apa yang dirancang tanpa ragu-ragu saat perlaksanaan tanpa menghiraukan apapun halangan.

Berkata penyair Al-Mutanabbi:

Bila engkau ada pendapat maka milikilah keazaman
Kerana rosaknya pendapat bila adanya keraguan

Jelas dari pendirian yang diambil oleh sang semut bahawa ia bukan hanya memiliki semangat yang tinggi untuk memenuhi faktor kejayaan, malah ia giat melaksanakan usaha mencapai matlamat tanpa menghiraukan apapun halangan sekalipun terpaksa menggadai nyawanya sendiri. Keazaman kental seumpama ini jarang terdapat pada manusia banyak maupun mereka yang terlibat langsung dengan pengurusan. Bayangkan jika sang semut teragak-agak dalam tindakannya atau lambat membuat keputusan, maka ia tidak akan dapat laksanakan tugasnya, seterusnya menyelamatkan kaum kerabatnya daripada bahaya yang pasti. Saya akan terangkan lebih terperinci dalam konteks pengorbanan nanti.

Kelima: Pengorbanan dan tiada kepentingan diri

Tiada kerja tanpa ketekunan dan jihad, tiada jihad tanpa pengorbanan. Setiap matlamat atau hadaf (objektif) tidak syak lagi perlu kepada jihad dan pengorbanan pada jalannya. Pengorbanan ialah sama ada dengan masa atau harta benda atau yang paling tinggi ialah dengan nyawa. 

Pengorbanan tersebut perlu kepada intima’ (penggabungan) yang tinggi, bahkan kaitan antara semua objektif individu dan tanzim perlu sejajar sampai ke tahap ‘peleburan’…paling tinggi yang menjadi cita-cita setiap tanzim terhadap anggotanya. 

Sang semut sebagai salah seekor dari kaumnya yang ditaklifkan untuk melaksanakan tugas tertentu –meninjau dan mengeluarkan amaran- telah menunjukkan pengorbanan yang dahsyat demi kaumnya. Ia telah bergegas mengerahkan tenaganya berdepan dengan Nabi Sulaiman dan bala tenteranya. Ia bernasib baik kerana kata-katanya itu didengari oleh Nabi Sulaiman. Sang semut tadi boleh –kalau ia mahu- selamatkan diri sendiri tanpa bersusah payah berusaha memberi amaran kepada yang lain, namun ia tidak hanya mementingkan dirinya sahaja…. Ia terus segera mendapatkan kaumnya menongkah arus laluan bala tentera, bersabung nyawa kerana boleh jadi ia akan terkorban sebelum sampai ke tempat kaumnya berkumpul. Alangkah hebatnya pengorbanan Sang semut ! Nyawanya menjadi taruhan dan tiada langsung kepentingan diri sendiri…. Dari sini kita dapat belajar berpandukan kebijaksanaan yang Allah kurniakan kepada Nabi Sulaiman. Bukan sekadar baginda memahami bahasa haiwan, bahkan kebijaksanaan dari tindak tanduk haiwan pun dapat dimengerti oleh baginda alaihissalam.

Keenam: Peraturan dan pembahagian kerja

Dari kisah Sang semut ini kita dapat memahami betapa berdisiplinnya ia. Bukan sekadar berdisiplin dan pandai mentadbir bahkan dapat merancang untuk masa depan. Kisah tersebut menggambarkan bahawa di sana ada peraturan dan pembahagian kerja atau tanggungjawab yang ditentukan terdahulu… seolah-olah Sang Semut berkenaan telah ditaklifkan untuk ‘berkawal’. Al-Quran menyebutkan ia sekadar Sang Semut biasa, membuat tinjauan untuk mengeluarkan amaran dan peringatan agar kecelakaan dapat dielakkan mengikut perkiraan masa yang mencukupi… Ia bukan ketua.. “Berkata Sang Semut”… Ia telah berjaya menjalankan tugasnya seperti semut-semut yang lain juga. Semua semut-semut yang ada pada hari itu menjalankan tugas masing-masing secara berimbang serta saling menyempurna antara satu sama lain dalam lingkungan disiplin menyeluruh yang amat indah sekali. Sang Semut secara kolektif dilihat mempunyai disiplin yang amat indah…

Ketujuh: Mengurus kecemasan

Ini pelajaran yang amat berguna. Bagaimana menguruskan kecemasan atau kecelakaan? Yang terpenting dalam asas mengurus kecelakaan ini ialah mengelakkan dari berlaku sejak awal lagi. Ia tidak mungkin dapat dilakukan melainkan melalui scenario andaian atau kebarangkalian berlaku kecelakaan; soalnya apa akan jadi bila berlaku sekian?? Dalam konteks kisah Sang Semut di atas, kecelakaan yang bakal berlaku ialah kedatangan bala tentera dalam skala besar menuju ke arah ‘negara semut’ tanpa disengajakan…lalu akan membinasakan keseluruhan ‘negara semut’ tadi. Justeru meminimakan kadar kecelakaan adalah dituntut; namun ia tetap merupakan kecelakaan juga. Oleh itu apa yang boleh dilakukan ialah berusaha sehabis kemampuan untuk mengurangkan kemalangan iaitu dengan mewujudkan stesyen-stesyen amaran awal dan siaran amaran kecemasan sebelum berlaku dalam tempoh waktu yang sesuai untuk membuat persediaan….

Dalam situasi yang berlaku kepada Sang Semut di atas, ia telah memberi amaran awal berdasarkan andaian akan berlakunya kecelakaan secara pasti… hingga nyawanya menjadi taruhan –seperti yang dikisah sebelum ini- Di sana ada andaian bahawa Nabi Sulaiman dan bala tenteranya kemungkinan akan merempuh ‘negara semut’ dan ada andaian lain bahawa mereka akan melencong ke laluan lain.. Semua itu kebarangkalian yang akan berlaku. Sang Semut tidak membuat andaian yang ketiga, contohnya ia kata: “Insya Allah semua baik-baik saja, jangan bimbang kita semua akan selamat… ” Akan tetapi ia memutuskan untuk memberi amaran awal sehingga bahaya yang bakal menimpa dapat dielakkan dan kecelakaan dapat diringankan sedapat mungkin.

Kelapan: Bersegera (tidak bertangguh)

Semangat untuk segera bertindak di sini jelas dilihat pada usaha menunaikan tugas tanpa berlengah. Sang Semut tidak menunggu-nunggu atau berserah bulat-bulat tanpa apa-apa usaha atau menunggu yang lain melakukan tugas tersebut. Tiada dalam fikirannya ‘kenapa semestinya saya yang lakukan’…’yang lain buat apa?’ Tetapi ia bangun menjalankan tugas tanpa disuruh sebagaimana kata-kata Thorfah ibnul Abd dalam mu’allaqahnya:

Apabila kaum itu berkata: Siapa pemuda itu? Aku menjawab ..saya yang bertanggungjawab dan saya tidak gentar dan tidak akan berundur…

Kesembilan: Perlaksanaan

Bersegera menjalankan tugas merupakan kemuncak kepada fikrah untuk membuat persediaan menunaikan tugas, maka perlaksanaan ialah perkara yang akan membawa kepada daerah penyempurnaan.Kedua-duanya ‘segera dan laksana’ adalah spirit pengurusan yang telah ditunjukkan oleh Sang Semut dalam kisah di atas….

Kesepuluh: Merasai tanggungjawab

Keseluruhan kisah yang disebutkan di atas tidak akan berlaku jika tidak ada perasaan tanggungjawab dalam jiwa Sang Semut tersebut. Boleh jadi ia hanyalah duduk pada tahap paling bawah dalam pyramid tanzim (hairaki tanzim), tetapi ia amat sensitive terhadap tanggungjawab seolah-olah ia orang nombor satu bertanggungjawab terhadap kaum kerabatnya. Perasaan tanggungjawab seperti inilah yang amat diperlukan oleh mana-mana organisasi atau tanzim. Dalam kisah ini terdapat sentuhan-sentuhan yang amat berguna.. Sang Semut telah mengajar kita dengan pengajaran yang maha hebat pada pandapat saya. Saya akan berhenti di sini kerana setakat ini kemampuan yang Allah swt anugerahkan kepada saya. Moga-moga di sana terdapat banyak lagi pengajaran yang boleh dikutip, mahukah kita mengambil iktibar? Apakah tidak sayugia kita bekerja seperti Sang Semut?! Tidakkah anda tahu sekarang….mengapa terdapat satu surah di dalam al-Quran dinamakan dengan Surah An-Naml?

(copy & paste dr:

Saturday, 29 March 2014

Dr. Harun Din BerSuaRA mENGenai MH370

Untuk tatapan kita bersama sebagai peringatan  disebalik kejadian MH370...





Ini antara Intipati Kuliah yang disampaikan oleh Dr. Harun Din mengenai MH 370 selepas solat Maghrib di sebuah masjid:

1.Kembali kepada cara hidup islam. Sistem Islam, kembali kepada Allah.
Insaflah yang kita sedang diuji Allah.

2.Air di empangan makin kurang. 3/4 Malaysia berjerebu dan terbaru MH370. Berpuluh-puluh kapal dan aircrafts cari pun tak jumpa. Allah nak ajar manusia bahawa ilmu kita ni sangat sedikit berbanding ilmu Allah.

3.Kalau diambil seluruh lautan dan seluruh pokok dan tumbuhan hingga habis untuk dijadikan tinta, masih tak mampu nak menulis kalimah Allah. Apatah lagi ilmuNya.

4.Beliau(Dr Harun Din) bacakan ayat quran ..jangan makan dan minum yang haram…maka kalau kita langgar ..mengundang kemurkaan Allah lalu Allah akan turun bala.

5.Apa yang berlaku pada MH370 jadikan Malaysia tumpuan seluruh dunia. Allah malukan kita dengan peristiwa tikar terbang sehingga Arab Saudi kata kita biarkan syirik berleluasa. Memang itu yang berlaku sebenarnya… Allah hina negara kita dengan peristiwa macam ni.

6.Majoriti manusia tak melihat peristiwa yang berlaku dengan mata hati bukan mata kasar. Mata hati kita buta kerana banyak maksiat dan syirik. Allah ingatkan kita..kembali padaNya..pohon maaf..insaf.

7.Bila dah 3 ke 4 hari tak jumpa baru nak ingat Allah.. Baru nak solat hajat. Bagi yang terang mata hati..terus baca innalillahi wainna ilaihirojiuun sewaktu awal-awal peristiwa berlaku.

8.Beliau(Dr Harun din) mengeluarkan pendapat ikut pengalaman, beliau melihat Saudi Airline dan Brunei amat menekankan kepada juruterbang mereka bacaan doa(bagi yang muslim) sebelum melakukan penerbangan.

9.Kenapa kita tak berserah pada Allah dalam setiap permulaan perjalanan? Di malaysia ni..banyak sangat orang Islam percaya perkara khurafat..bomoh dah jadi kelaziman hinggakan orang buat tikar terbang di KLIA pun tiada orang Islam yang menghalang… Hingga 1 dunia tengok kebodohan dan kesyirikan yang berlaku di negara kita… Lihat dengan mata hati…itu penghinaan Allah pada kita.




Tuesday, 29 October 2013

kAsiH seORanG baPa



Nak berkongsikan satu kisah benar kasih seorang ayah terhadap anaknya, kita semua mungkin bakal lalui pengalaman yang sama kelak. KERANA DIA SEORANG AYAH – Kisah Benar sebagai pengajaran dan pedoman buat kalian

Ada seorang bapa datang ke kedai, melihat-lihat seperti pelanggan lain. Aku menerjahnya, “Pakcik, laptop…” – dia tersenyum dan masih melihat-lihat laptop yang ada di kedai.

Aku menyambung lagi, “Nak beli untuk anak ke?”, “Ya, nak beli untuk anak – dia nak sambung belajar – laptop yang mana yang ok?”. Aku mempromosi barang seperti biasa – aku biasanya mengsyorkan yang paling murah. “Kalau nak yang bagus mahal pakcik – tapi kalau setakat nak buat belajar yang nie lah, Samsung – seribu seratus lebih je…”. Dalam aku bercakap dengan dia, dia banyak diam dan seperti berfikir. Sedikit lama dia terdiam, dia membuka mulut “Nanti saya datang balik ya, duit tak berapa nak ada lagi ni…” – pergi dengan suatu perasaan yang lain.

Aku dengan rutinku berkerja setiap hujung minggu sahaja, kebetulan – aku duduk di kaunter menunggu pelanggan – dia datang semula ke kedai, tapi dengan anaknya – perempuan. “Yang mana ya yang haritu, ada lagi tak?”, “Yang nie Samsung haritu, tapi yang nie stok baru – harga sama je”, aku menyambut soalan nya. Dia bertanya kepada anaknya, “Yang nie ok ke dik?” – “Ermmm, ok ke nie murah je – karang rosak karang susah…” jawabnya dengan muka yang kurang puas hati – anaknya seperti menginginkan yang lain yang lebih mahal. “Yang acer nie x boleh ke ayah?”, ayahnya terdiam seketika dan menyambut dengan negosiasi, “Yang acer nie berapa boleh murah lagi?” – “Yang tu tak dapat dah pakcik,… Dah harga kos dah tu…” aku dengan rasa geram namun masih dalam nada yang baik menyambung lagi, “Dik, nak laptop untuk belajar kan… Rasanya kalau untuk belajar – yang nie lebih dari cukup – rosak tak payah pikir sangat – warenti setahun.”. Aku mengeluarkan kata-kata tersebut atas dasar aku seperti mengerti kerut wajah bapanya.

“Oklah, yang ini.” jawab anaknya. Sedang aku menulis resit dan membungkus laptop dari meja ‘display’ – aku terpandang bapanya yang mengira duit untuk membayar – aku nampak dompetnya kosong – habis semua duit digunakan untuk membayar laptop. Dia menyerahkan duit kepadaku dan aku mengiranya semula – dia melihat tanganku yang mengira. Habis aku mengira – wang aku masukkan dalam cash drawer, “Cukup duit tadi dik?” – “Cukup, Terima Kasih ya…”. Dia dan anaknya meninggalkan kedai. Aku hanya menahan airmata mengira duit yang diberikan – RM1, RM5, RM10 dan hanya sekeping RM50. Aku membayangkan dari mana si ayah mencari duit untuk membeli sebuah laptop untuk anaknya – penuh harapan.

Aku geram kepada anaknya – seperti dia tidak tahu ayahnya bagaimana – hanya tahu minta. Aku tahu ayahnya tiada duit, dia dah sebut awal-awal pada aku, aku nampak airmukanya, aku perhati sekeping-sekepi­ng duit yang diserahkan. Aku tahu dia tiada duit pulang ke rumah dan perlu ‘mengais’ untuk hari esoknya.

Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dan (dosa) kedua ibubapaku, dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku pada waktu kecil. Amin…

Sumber : http://fuh.my/kisah-benar-yang-menyayat-hati-kasih-seorang-bapa/


Dr Fuh – Adakah kita selalu fikirkan dari mana duit mak ayah kita dapat untuk besarkan kita? Pernahkah kita terfikir akan pengorbanan dan kesusahan mak ayah kita demi menyara hidup kita dengan lengkap? Renung-renungkanlah kisah benar ini, kerana kita juga bakal melaluinya.


~ sOMedAy I wiLL finD mY pRincE cHARmiNg,
buT mY dAddY wiLL aLWAys bE mY kiNg ~

Sunday, 13 October 2013

beRZinA deNGaN ikHLaS..????


Berzina Dengan Ikhlas | Seorang remaja yang menamakan dirinya Yang Ikhlas telah menghantar satu surat kepada Dr Danial Zainal Abidin baru-baru ini. Antara isi surat itu ialah: Dr. Danial yang dihormati. Saya telah bercinta dengan seorang wanita. Demi cinta kami telah berzina. Tetapi saya tidak rasa bersalah sebab saya ikhlas dengannya. Saya hendak mengambilnya sebagai isteri saya. Saya tidak bertujuan untuk mempermainkannya. Rakan-rakan saya mengatakan tindakan saya adalah gentleman. Tetapi saya telah dimarahi oleh orang-orang tua saya. Saya rasa mereka berotak kolot. Apakah pandangan dan nasihat tuan.

......

JAWAPAN DR. DANIAL

Yang Ikhlas yang dihormati. Saya bersyukur tentang keikhlasan saudara dan saya berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu jugalah saya menulis jawapan ini kepada saudara.

Dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire telah menulis bahawa: Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas…..Di akhir abad keenam, Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan yang paling dahsyat sekali!

Nabi datang untuk selamatkan kita dari kehancuran yang seperti itu. Nabi bersabda, Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (Hadis riwayat Ahmad & Baihaqi)

Nilai akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur yang penting bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya. Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud: Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu! (Surah Al-Baqarah ayat 223) Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.

Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence, Italy yang bernama Niccolo Machiavelli. Machiavelli, dalam bukunya The Prince telah menekankan konsep the end justifies the means ataupun niat membersihkan cara. Asalkan niat kita baik, berzinalah, menipulah, khianatilah, menyamunlah dan begitulah seterusnya. Semua adalah halal bagi Machiavelli.

Laporan akhbar 6 Ogos 1999 juga ada perkaitan dengan krisis nilai ini apabila seorang tokoh koporat berpangkat Datuk, telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa niatnya adalah suci kerana bertujuan untuk mengahwininya. Itulah nilai yang sedang melanda dunia sekarang: Seks adalah suci walaupun tanpa perkahwinan!

Memang ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan seks bebas ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan. Nilai agama dan akhlak adalah kolot. Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan sumbangan seks bebas kepada dunia. Seks bebas telah berjaya merebakkan penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel pernah menjadikan tajuk AIDS in Asia – Killer Epidemic in Sex Paradise (AIDS di Asia – Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya. Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua kali ganda kemungkinan diserang masalah emosi di dalam hidup mereka, berbanding dengan anak-anak lain (Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).

Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Semua ini bukanlah sumbangan yang membanggakan bagi dunia moden.

Islam menekankan bahawa niat dan cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat mengharamkan zina. Nabi kita bersabda, Selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya! (Hadis riwayat Ahmad & Thabrani)

Saya berharap saudara Yang Ikhlas akan kembali ke jalan yang murni berdasarkan agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang kemajuan sebaliknya lambang kemunduran dan kehancuran.

Kaum Lut hancur kerananya.
Kota Pompei hancur kerananya.
Empayar Rom juga hancur kerananya.
Justeru, kembalilah ke pangkal jalan.

(Semoga jawapan ini juga mendatangkan manfaat kepada mereka yang lain)

WALLAHUALAM

sumber: http://beritamyon9.blogspot.com/2013/02/berzina-dengan-ikhlas.html


~ wHen LifE iS rOUgh..PRAY..
wHeN LifE iS grEAt..PRAY..~




Thursday, 3 October 2013

nAFkaH isTEri dAn iBu bApA, mANa yG didAHuLUkaN???




Soalan:

1. Apakah hukum suami yang selalu mengabaikan nafkah anak isteri kerana mengutamakan keluarga di kampung?-suami bukanlah anak lelaki sulung @ anak lelaki tunggal.

2. Bolehkah keluarga di kg terutama ibu & ayah meminta duit (terlalu kerap) dari anak lelakinya padahal anak lelakinya jg perlu bertanggungjawa-b pada anak isteri? - Ayahnya masih berkerja tetap selalu mengalami masalah kewangan.
Syukran jazilan atas jawapan yg diberikan.

Jawapan;

1. Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Urutan nafkah adalah seperti berikut;
a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa
e) Ibu
f) Cucu
g) Datuk
h) Saudara
i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Urutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46). Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis). (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya -mengikut kemampuannya- ia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.

Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi dua syarat;

a) Mereka adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah wajib lagi ia menyara mereka. Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah ia wajib menyara ahli-ahli keluarga yang lain.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana menafkahi isteri dan anak-anak adalah wajib. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah darinya, ia hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika ia mampu menampung semua mereka. Jika tidak, hendaklah ia mendahulukan isteri dan anak-anak.


sumber: http://ilmudanulamak.blogspot.com/2011/02/nafkah-isteri-dan-ibu-bapa-mana-yang.html







Wednesday, 2 October 2013

'sURi rUmaH' vs. 'tiDAk beKerjA'..??


Jangan Pernah Kata Isteri Anda Tidak Bekerja Walaupun Dia Suri Rumah

Berikut adalah Soalan dan Jawapan antara Suami (S) dan Pakar Psikologi (P):

P: Apa yang anda lakukan untuk hidup Encik?
S: Saya bekerja sebagai Akauntan di Bank.

P: Isteri Anda?
S: Beliau tidak berkerja. Beliau adalah Suri rumah sahaja.

P: Siapa yang membuat sarapan pagi untuk keluarga anda pada waktu pagi?
S: Isteri saya, kerana dia tidak bekerja.

P: Pada apa masa isteri anda bangun untuk membuat sarapan?
S: Dia bangun pada kira-kira 05:00 pertama kerana dia membersihkan rumah sebelum membuat sarapan.

P: Bagaimana anak-anak anda pergi ke sekolah?
S: Isteri saya membawa mereka ke sekolah, kerana dia tidak bekerja.

P: Selepas mengantarl anak-anak ke sekolah, apakah dia lakukan?
S: Dia pergi ke pasar, kemudian pulang untuk memasak dan pencucian pakaian. Anda tahukan dia tidak berkerja.

P: Pada waktu malam, selepas anda pulang dari pejabat, apa yang anda lakukan?
S: Berehat, kerana saya kepenatan kerja seharian.

P: Apakah isteri anda lakukan itu?
S: Dia menyediakan makanan, melayan anak-anak kami, menyediakan makanan untuk saya dan membersihkan pinggan mangkuk, membersihkan rumah kemudian menidurkan anak-anak.

Dari cerita di atas, yang manakah anda berfikir lebih berkerja??

Setiap hari isteri anda bermula dari awal pagi hingga lewat malam. Yang dipanggil ‘TIDAK BEKERJA’?!

Hargailah isteri anda. Kerana pengorbanan mereka adalah tidak terkira nilainya. Ini harus menjadi peringatan dan renungan untuk semua bagi memahami dan menghargai setiap peranan orang lain. Memahami dan Menghargai antara satu sama lain akan membuat setiap orang berasa gembira.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Tanggungjawab suami terhadap isterinya adalah apabila kamu makan, hendaklah kamu beri makanan untuk isterimu. Apabila kamu memakai pakaian, kamu berikan pakaian untuk isterimu. Jangan kamu pukul isterimu pada bahagian muka. Jangan kamu keluarkan perkataan yang jahat di hadapannya iaitu perkataan yang menyakiti hati dan dibenci. Jangan kamu tinggalkan isterimu seorang diri kecuali dalam rumah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Satu contoh petunjuk Rasul yang menggambarkan baginda beradab sopan bersama isteri baginda ialah hadis yang diriwayat oleh Ibn Abi Dunya, Saidatina Aisyah memberitahu bahawa:

“Segala urusan dan perlakuan Baginda amat menakjubkan, sehingga ketika baginda bersama isterinya pada suatu malam dan telah bersentuhan kulit, baginda meminta izin dari isterinya Aisyah untuk beribadat menemui Tuhannya.”


Demikianlah adab Rasul bersama isteri baginda, meminta izin untuk meninggalkannya meskipun untuk bertemu Tuhan.



..tHe LoVe oF a FaMiLy
iS LifE's grEATesT bLesSinG..


Tuesday, 10 September 2013

PENYAKIT HATI YANG TIDAK DISEDARI


UntuK reNUNgan BErsamA
copy from : http://ondastreet.wordpress.com/2009/05/22/tazkirah-jumaat-penyakit-hati-yang-tidak-disedari/
-
-
-

Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6
Maksudnya: Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak.



Ramai dikalangan kita pernah mendengar perkataan riak ini, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa penyakit ini telah wujud dalam diri tanpa disedari dan tidak tahu bagaimana ianya muncul dan seterusnya merebak. Di sini kami akan merungkaikan apakah itu penyakit riak, bagaimana kehadirannya dan bagaimana mengatasinya. Semoga dengan rungkaian ini anda dapat mengambil iktibar dan cuba mengenalpasti adakah riak itu pernah ada dalam diri anda dan ikuti panduan yang kami berikan untuk membuang terus ataupun mengurangkan sedikit penyakit yang merosakkan hati anda tersebut.

Pengertian riak

Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.

Perkara yang diriakkan oleh manusia;

 1- Riak dari segi badan

Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.

2- Riak pada pakaian

Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.

3- Riak dengan perkataan.

Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata- kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.

4- Riak pada amalan

Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.

5- Riak dengan ramainya murid dan pengikut.

Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.

Peringkat Riak

1- Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.

2- Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.

3- Riak Jali ( yang terang )
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.

4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.

Bagaimana mengelakkan sifat riak?

Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah menghindari dengan menjauhi sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit. Begitu jugalah kepada penyakit riak ini, iaitu menjauhi sebab-sebab yang boleh membawa kepada perasaan itu, antaranya ialah;
1- Sifat suka dipuji oleh orang lain. Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.
2- Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain. Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.
3- Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian. Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia  sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.

Setelah mengetahui sebab-sebab yang menjadi punca riak, mari kita lihat bagaimanakah cara untuk menghindarinya. Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;
1- Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.
2- Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan tabiat ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.
3- Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.
4- Menanamkan dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu itu kerana manusia sehingga membawa  kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut dijauhkan.
5- Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk  menghampirkan diri kepada Allah.
6- Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan.

Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak. Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya memang akan timbul perasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit. Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka.

Wallahua’lam.

ODS: Astaghfirullahal’azim..banyaknya cabang riak. Nampak gaya, sebagai manusia biasa, terkadang diri ini nampak gaya tidak sengaja ter”riak”. Adalah diharapkan kita dapat kurangkan “ke”riak”an sehingga ke tahap tak riak lagi.

Wallahualam.. :)


ANAK, MENANTU ATAU IBUBAPA & MERTUA YANG “HANTU”?

UnTuK reNUNgaN
copy from: http://ondastreet.wordpress.com/2010/10/08/tazkirah-jumaat-anak-menantu-atau-ibubapa-mertua-yang-hantu/
-
-
-
Untuk Tazkirah Jumaat kali ini, ingin saya mengulas sedikit sebanyak apa yang kerapkali dilaporkan di media tentang apa yang berlaku dalam hubungan anak menantu dan ibubapa serta mertua.

Sebagaimana ramai yang sedia maklum, seorang mertua telah dilaporkan dibelasah menantunya (yang dilaporkan di Harian Metro 2 minggu lalu). Mengikut laporan akhbar, ianya digambarkan menantu itu yang “hantu” kerana membelasah mertuanya tanpa belas kasihan dan kerana cuba campur tangan (cuba menyelamatkan anaknya). Berdasarkan keadaan itu, bolehlah kita beranggapan menantu itu yang hantu kerana membelasah si isteri.

Namun, dalam pada itu, kita juga diingatkan dengan nasihat dan pandangan oleh bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz (berdasarkan laporan Harian Metro juga). Beliau antara lain menyatakan:

“Dalam Islam, apabila anak sudah berkahwin, ibu bapa tidak boleh mencampuri urusan rumah tangga anak-anak kerana dikhuatiri mendatangkan keburukan,”

“Perlu diingat mentua tidak boleh masuk campur urusan anak mereka melainkan untuk mendamaikan rumah tangga dan ke arah kebaikan,”

Saya pasti ramai ibubapa dan mertua yang masuk campur tangan dengan niat untuk mendamaikan rumah tangga dan ke arah kebaikan mengikut pandangan masing-masing (iaitu pandangan ibubapa atau mertua itu sendiri). Benar, ramai ibubapa dan mertua yang tidak mahu rumahtangga anaknya diakhiri dengan penceraian. Akan tetapi, betulkah cara, pendekatan dan perkara yang ingin dicampuri itu?

Disinilah persoalan yang amat subjektif dan tidak tetap jawapannya. Disinilah setiap ibubapa, mertua dan anak menantu perlu bertenang dan menilai keadaan bagaimana yang dibolehkan untuk ibubapa dan mertua campur tangan atau sekadar memberi pandangan dan nasihat (yang kemudiannya terpulang kepada pasangan anak menantu itu untuk mengikutnya atau tidak).

Pastinya rumahtangga sianak menantu (malah ibubapa dan mertua itu sendiri) ada kisah-kisah turun dan naik, menggembirakan dan menyedihkan serta menggusarkan hati. Perkara-perkara itu boleh meliputi urusan penjagaan anak, pengurusan kewangan, pengurusan harta, dan urusan hidup seharian serta akhirat.

Secara dasarnya, ibubapa, mertua dan anak menantu perlu mengingat kembali akan detik-detik manis ketika upacara akad nikah. Semua pihak perlu merenung kembali apa yang terkandung dalam khutbah nikah yang dibacakan oleh imam atau tok kadi. Secara amnya, dalam khutbah itu disentuh tanggungjawab suami kepada isteri, isteri kepada suami, tanggungjawab suami isteri itu kepada anak yang bakal dilahirkan. Dan buat ibubapa dan mertua, pastinya tahu, tika akad dan nikah itu sah dilafazkan oleh silelaki, terpindahlah tanggungjawab dunia akhirat dan “hak” siibubapa si perempuan kepada menantu lelaki, dan bermulalah anak menantu melayari kehidupan berdasarkan pengurusan mereka sendiri.

Namun, bukan bermakna sisuami boleh dan sentiasa mengikut kata ibubapanya. Ditangannya kini tanggungjawab menguruskan rumahtangga sendiri. Salah silap dalam pengurusan keluarga, si suami bertanggungjawab. Oleh itu sisuami juga perlu bijak menguruskan rumahtangganya. Jika siibu bapa mahu memberikan pandangan dan nasihat, nilaikanlah dan berbincanglah bersama si isteri untuk kebaikan bersama.

Ini juga bermaksud, ibubapa si suami juga perlu memberi kebebasan dan peluang kepada anak lelakinya menguruskan rumahtangganya sendiri, kerana kelak, yang disoal di Padang Masyar adalah si anak lelaki itu atas apa yang berlaku dalam rumahtangganya, dan bukannya ibubapa si anak lelaki.

Janganlah mudah menjatuhkan hukum “derhaka” kepada sianak menantu kerana tidak menurut kehendak ibubapa atau mertua sendiri. Kenapa? Biar saya berikan satu contoh (yang kebiasaannya menyesakkan pemikiran pasangan anak menantu yang boleh membawa kepada perselisihan).

Ibu bapa perempuan mahu cucunya dijaga oleh mereka, dan begitu juga ibubapa si lelaki. Jika pasangan itu tidak diberikan kebebasan membuat keputusan, pastinya begitu mudah jatuhnya hukum “derhaka” kerana tidak mahu mengikut kata ibubapa masing-masing.

Contoh lain yang boleh diberikan adalah saat dan ketika pulang beraya dikampung. Saban tahun pastinya ada pasangan bergaduh mahu balik beraya kerana terdapat desakan daripada ibubapa masing-masing yang mahu anak cucunya pulang beraya bersama mereka. Adilkah jika menggunakan hujah si isteri perlu mengikut kata suami semata? Adilkah sisuami memutuskan perhubungan isteri dan anaknya dengan mertuanya?

Nah, ini antara dilema pasangan anak menantu jika didesak oleh ibubapa mereka dan tidak memberi ruang dan peluang untuk anak menantu menguruskan rumahtangga mereka sendiri.

Ini belum termasuk campurtangan pengurusan harta si anak menantu. Contoh situasi yang mungkin tertimbul dalam hal ini adalah ibubapa si isteri mahukan anak perempuannya membeli harta yang diinginkan oleh mereka kerana menurut hujah, si suami tidak berhak ke atas harta si isteri. Padahal, si suami mengizinkan si isteri bekerja untuk membantunya menguruskan keluarga. Bagaimana?

Benar, dari satu sudut, si suami itu tidak berhak ke atas pendapatan isterinya, tetapi dari satu sudut yang lain, jika si suami tidak mengizinkan si isteri keluar rumah, apa akan jadi pada pendapatan tersebut? Apa jatuh hukumnya jika si isteri tetap keluar rumah tanpa keizinan suami?

Oleh itu, biarkanlah anak menantu menguruskan keluarga mereka mengikut cara dan kemampuan mereka. Sebagai ibubapa dan mertua, biarkanlah, pantaulah dari jauh. Jika apa yang dilakukan oleh mereka melanggar hukum agama dan alam, barulah masuk campur tangan secara berhikmah. Selain daripada itu, cukuplah sekadar memberi nasihat dan pandangan  serta biarkanlah mereka menentukan jalan yang mereka pilih.

Renung-renungkanlah Tazkirah Jumaat kali ini. Buat tambahan bacaan, beberapa artikel Tazkirah Jumaat yang berkaitan yang boleh dibaca, seperti ini, ini, ini, ini dan ini.

Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku dan apa yang ternukil pada Tazkirah Jumaat kali ini.


Wallahualam…