UntuK reNUNgan BErsamA
copy from : http://ondastreet.wordpress.com/2009/05/22/tazkirah-jumaat-penyakit-hati-yang-tidak-disedari/
-
-
-
Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6
Maksudnya: Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu)
orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak.
Ramai dikalangan kita pernah mendengar perkataan riak ini,
tetapi tidak ramai yang sedar bahawa penyakit ini telah wujud dalam diri tanpa
disedari dan tidak tahu bagaimana ianya muncul dan seterusnya merebak. Di sini
kami akan merungkaikan apakah itu penyakit riak, bagaimana kehadirannya dan
bagaimana mengatasinya. Semoga dengan rungkaian ini anda dapat mengambil
iktibar dan cuba mengenalpasti adakah riak itu pernah ada dalam diri anda dan
ikuti panduan yang kami berikan untuk membuang terus ataupun mengurangkan
sedikit penyakit yang merosakkan hati anda tersebut.
Pengertian riak
Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat
semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.
Perkara yang diriakkan oleh manusia;
1- Riak dari segi
badan
Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan
keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.
2- Riak pada pakaian
Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan
dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan
golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah
sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah
tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.
3- Riak dengan perkataan.
Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang
yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya
seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan
dalam maknanya juga kata- kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti
kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan
kosong.
4- Riak pada amalan
Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat
dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya.
Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan
fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke
kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian
amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju
dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.
5- Riak dengan ramainya murid dan pengikut.
Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang
ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan
ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh
dan ulama.
Peringkat Riak
1- Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi
untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan
Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya
kerana hanya berkiblatkan manusia.
2- Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk
mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan
amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih
ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan
kepada manusia pada satu segi yang lain.
3- Riak Jali ( yang terang )
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal
ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan
amal.
4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya
tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin
beribadat.
Bagaimana mengelakkan sifat riak?
Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah
menghindari dengan menjauhi sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit. Begitu
jugalah kepada penyakit riak ini, iaitu menjauhi sebab-sebab yang boleh membawa
kepada perasaan itu, antaranya ialah;
1- Sifat suka dipuji oleh orang lain. Sifat ini akan membawa
kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.
2- Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain. Ketakutan
ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.
3- Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada
kematian. Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana
untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala
pekerjaan yang dilakukan.
Setelah mengetahui sebab-sebab yang menjadi punca riak, mari
kita lihat bagaimanakah cara untuk menghindarinya. Terdapat beberapa cara untuk
menghindari sifat riak daripada menguasai hati;
1- Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang
diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan
ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.
2- Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah.
Dengan tabiat ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan
perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat
kelak.
3- Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh
menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.
4- Menanamkan dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu
itu kerana manusia sehingga membawa
kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut dijauhkan.
5- Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan
nikmat yang dikurniakan Allah untuk
menghampirkan diri kepada Allah.
6- Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan.
Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap
kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka
inilah tanda wujudnya sifat riak. Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan
amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat
perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira
sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun
untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya memang akan timbul perasaan
riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan
berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit
demi sedikit. Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah,
menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak
sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal
dan meningkatkan ibadat. Tetapi jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus
menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang
dilakukan adalah sia-sia belaka.
Wallahua’lam.
ODS: Astaghfirullahal’azim..banyaknya cabang riak. Nampak
gaya, sebagai manusia biasa, terkadang diri ini nampak gaya tidak sengaja
ter”riak”. Adalah diharapkan kita dapat kurangkan “ke”riak”an sehingga ke tahap
tak riak lagi.
No comments:
Post a Comment